بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العلمين و الصلاة و السلام علي اشرف الأنبياء و المرسلين و
علي آله و صحبه أجمعين.
Ya Allah,
sesungguhnya kami bersyukur kepada-Mu kerana memberi nikmat pembangunan dan
kemerdekaan yang dapat dinikmati oleh rakyat di negara ini. Ya Allah,
kekalkanlah pembangunan yang telah kami laksanakan sama ada yang berbentuk
material atau spiritual. Martabatkanlah negara kami dan seluruh rakyat di
negara kami. Kami bersyukur kepada-Mu ya Allah kerana kemajuan yang kami
perolehi adalah hasil daripada kemerdekaan yang telah Engkau anugerahkan kepada
kami.
Sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56, Tahun 2013 yang bertemakan MALAYSIAKU BERDAULAT: TANAH TUMPAHNYA DARAHKU.
Ya Allah,
Pada hari ini, kami pohonkan ihsan daripada-Mu Ya Allah, agar engkau kurniakan kepada kami nikmat kesejahteraan dan keselamatan yang berterusan, lindungilah kami daripada segala keburukan dan keaiban, hindarkanlah kami daripada segala rupa bentuk kemungkaran dan kemaksiatan.
Engkau peliharalah
tanah air kami Malaysia yang kami cintai ini. Engkau peliharalah perpaduan di
antara kami demi kepentingan negara Malaysia yang kami kasihi. Ya Allah, kami
bersyukur kepada-Mu kerana dapat hidup dalam keadaan aman, damai, harmoni,
percaya-mempercayai, saling hormat-menghormati serta tolong-menolong yang
menjadi tunjang kepada kemakmuran negara kami sehingga ke hari ini.
Ya Allah, Ya Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang,
Kami memohon restu daripada-Mu, Engkau anugerahkanlah bangsa
kami ini menjadi bangsa yang setanding dengan bangsa dan negara-negara maju
lain di dunia ini. Engkau kekalkanlah kemerdekaan ini untuk generasi kami dan
generasi yang akan datang.
Peliharalah
kemerdekaan ini ya Allah, agar bangsa kami menjadi bangsa yang sihat,
berdisiplin, bertoleransi, pemurah, peramah dan hidup di kalangan masyarakat
berbilang kaum bagaikan satu keluarga.Peliharalah kemerdekaan ini ya Allah,
supaya hati kami, jiwa kami dan minda kami sentiasa berada dalam keimanan yang
teguh dan dapat memakmurkan negara dan bangsa.
ربنا أتنا في الدنيا حسنة وفى الاخرة حسنة و قنا عذاب النار .وصلى الله
على سيدنا محمد وعلى أله وأصحابه اجمعين.والحمد لله رب العالمين